SELANGOR

Umno-BN lebih sebelahi pemaju punca ramai rakyat tertindas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Sikap Kerajaan Umno-Barisan Nasional yang gemar menyebelahi syarikat pemaju perumahan menjadi antara faktor semakin rakyat tertindas.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masalah projek rumah terbengkalai selama 20 tahun seperti dihadapi peneroka Bukit Cherakah pasti dapat diselesaikan lebih awal jika kerajaan terdahulu mengambil serius terhadap penderitaan ditanggung rakyat.

“Ini membuktikan kalau kerajaan itu peduli rakyat, bertanggungjawab dan berintegriti, bukan sahaja memajukan negeri tetapi akan mengangkat umat rakyat Selangor.

“Namun kenapa tuan-tuan terpaksa menunggu sehingga 20 tahun? Jawapannya pentadbiran sebelum ini tidak peduli rakyat, tidak mengambil berat masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan Rumah Antara Peserta dengan Syarikat Pemaju Paragon Pinnacle Sdn Bhd di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau bersyukur kerana berjaya menyelesaikan masalah dihadapi peneroka terbabit dalam tempoh dua tahun selepas mula menduduki jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor.

Katanya, usaha seperti dijalankan Kerajaan Negeri ini sepatutnya turut menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan dan bukannya untuk memancing undi dalam pilihan raya.

Terdahulu, selepas 20 tahun menunggu seramai 980 peneroka Bukit Cherakah menandatangani perjanjian pemilikan perumahan bernilai RM250,000.

Peserta terbabit juga sudah menerima keseluruhan bayaran pampasan tunai berjumlah RM180,000 pada 2016 lalu.

=EZY=

 


Pengarang :