Khairuddin, Catalunya Moto3 2015
SUKANKINI

Zulfahmi jalani ujian pra-musim minggu depan

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 9 FEB: Pelumba SIC Racing Team, Zulfahmi Khairrudin akan menjalani ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang, di sini, minggu depan, sekembali dari ujian pertama di Eropah.

Ketika ini, pelumba negara itu dalam usaha menyesuaikan diri menunggang jentera Kalex Moto2 dengan menjalani latihan tiga hari di Litar Ricardo Tormo, Velencia, Sepanyol.

“Ia hebat untuk pergi ke Sepang minggu depan kerana cuaca jauh lebih baik berbanding di Eropah sekarang.

“Saya fikir akan dapat melakukan lebih banyak dan memberi tumpuan kepada penyediaan motosikal lebih baik serta meningkatkan tahap kelajuannya,” kata Zulfahmi.

Zulfahmi dan pasukannya menempuh keadaan sukar di Eropah ekoran cuaca buruk ketika ini dengan merasai pengalaman pertama menunggang jentera Kalex 600cc, di litar berkenaan.

“Saya mempunyai pasukan sangat kuat di belakang saya dan berasa yakin dengan sokongan Kalex serta Ohlin, kita mempunyai pakej sangat baik.

“Biarpun tidak tergesa-gesa tetapi saya harus menunjukkan potensi dan cepat menyesuaikan diri kerana kelas Moto2 sangat kompetitif,” katanya.

Pengurus pasukan, Johan Stigefelt berkata, ujian di Sepang bakal membantu penunggang SIC Racing Team itu ekoran keadaan cuaca baik yang akan ditempuh.

“Pasti di Malaysia, ia akan menjadi lebih baik kerana kita mempunyai tiga hari penuh ujian dan ini akan membantunya lebih menyesuaikan diri dengan motosikal Moto2,” katanya.

Beliau berkata, ujian pertama di litar Eropah itu di luar jangkaan Zulfahmi tetapi ia pemulaan baik untuk dirinya dengan pasukan banyak membantu.


Pengarang :