BERITA UTAMASELANGOR

120 peniaga Hulu Kelang terima bantuan HIJRAH

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 9 FEB: Seramai 120 peniaga kecil di Hulu Kelang, hari ini menerima bantuan Skim Hijrah bernilai RM761,000 bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bantuan antara RM5,000 hingga RM50,000 itu diwujudkan bagi mengatasi masalah peniaga mendapatkan pinjaman bank.

“Kalau pergi ke bank, hendak pinjam RM5,000 pun susah. Pelbagai karenah mahu pinjam duit.

“Justeru, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada Yayasan Hijrah dan sehingga kini, RM340 juta dibelanjakan untuk membantu 48,000 peniaga kecil di Hulu Kelang sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Penyampaian Sumbangan Asnaf dan Solat Asar di Surau Al Islah AU2, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, peniaga yang menerima pembiayaan melalui Skim Hijrah tidak dikenakan faedah seperti pinjaman bank.

Katanya, bantuan itu diharap dapat membantu penerima meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing.

Sementara itu, pada program sama, Mohamed Azmin turut menyampaikan sumbangan RM500 daripada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) kepada 100 keluarga asnaf, di kawasan itu.


Pengarang :