SELANGOR

Bekalan air keruh: Semak semula jika terdapat aduan

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 12 MAC: Kerajaan Negeri akan menyemak semula aduan dan rungutan daripada segelintir penduduk di sekitar Puchong dan Shah Alam yang mendakwa masih menerima sumber bekalan air keruh.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya akan melihat semula perkara berkenaan sekiranya terdapat pengguna yang terjejas akibat bekalan air keruh terbabit.

“Perkara ini bukan masalah besar kerana hampir keseluruhan kawasan yang terjejas bekalan air telah kembali pulih sepenuhnya hari ini.

“Saya jangkakan keadaan ini (air keruh) mungkin hanya mengambil masa singkat dan akan kembali seperti sedia kala memandangkan lima paip besar yang mempunyai masalah ke injap udara memerlukan masa bagi proses pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek membina jalan sambungan Kota Warisan B20 (missing link) daerah Sepang, di sini.

Pada masa sama, Zaidy berkata, bekalan air di keseluruhan kawasan terjejas iaitu di Wilayah Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat pulih 100 peratus.

“Bagaimanapun, tiga kawasan di Wilayah Petaling masih dalam proses pemulihan iaitu di Taman Bukit Kuchai, Bandar Puchong Jaya dan Subang Jaya (SS12 hingga SS19),” katanya.

=EZY=


Pengarang :