NASIONAL

Kemiskinan anak kota perlu diberi perhatian serius

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 MAC: Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) kecewa terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat menolak usul membahaskan laporan United Nations Children’s Fund (UNICEF) berkenaan kemiskinan anak kota dengan alasan ia bukan ‘kepentingan awam’.

Ketua Pemuda PAKATAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan UNICEF amat penting dan sepatutnya membuka mata setiap ahli Parlimen serta pihak Kerajaan kerana ia membongkar keadaan sebenar kemiskinan bandar yang memberi kesan besar terutamanya kepada kanak-kanak.

“Dengan penolakan demikian, Dewan Rakyat bagaikan menganggap perkara ini remeh dengan alasan pelbagai agensi kerajaan sedang mengkaji laporan tersebut.

“Bagaimanapun, ia tetap tugas wakil rakyat untuk membincangkan perkara penting ini kerana melibatkan dasar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata, kerajaan harus berdepan dengan masalah dan berhenti berselindung di sebalik retorik negara maju dan ekonomi baik.

“Hampir 60 tahun memerintah, mengapa masih ramai rakyat menderita kemiskinan dan golongan kanak-kanak kekurangan zat?,” soalnya.

Nik Nazmi berkata, ia jelas sebuah krisis negara patut mendapat perhatian penuh pihak kerajaan dan Dewan Rakyat.

“Apa gunanya menjadi wakil rakyat jika tidak boleh membincangkan perihal rakyat dan mencari jalan penyelesaian?,” soalnya.

Berdasarkan kaji selidik, kesan kemiskinan bandar dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di rumah kos rendah hidup serba kekurangan daripada segi pemakanan, pendidikan, keselamatan dan keadaan hidup.

Laporan itu menyatakan 99.7 peratus kanak-kanak di flat kos rendah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Petaling Jaya sedang hidup pada bawah paras kemiskinan.

Ia juga mendapati 12 peratus daripada kanak-kanak di rumah kos rendah makan kurang daripada tiga kali sehari dan kekurangan zat makanan bagi kanak-kanak di flat kos rendah lebih tinggi berbanding purata kebangsaan 22 peratus.

Malah di negeri termiskin, Kelantan, terdapat kanak-kanak yang dikatakan hidup dalam keadaan lebih teruk daripada negara miskin seperti Zimbabwe dan Swaziland.

=EZY=

 


Pengarang :