PBTSELANGOR

Boling Piala Liga Datuk Bandar MBPJ tawar hadiah keseluruhan RM100,000

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 14 MAC: Kejohanan boling Piala Liga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang memasuki penganjuran kali kedua, menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM100,000 kepada peserta.

Sektretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, kejohanan akan diadakan di Wangsa Bowl di One Utama bermula 4 April, setiap Rabu, jam 9 malam dengan setiap pasukan bertanding selama 27 minggu atau sembilan bulan.

“Kejohanan ini dijangka berakhir pada awal November 2018 yang mensasarkan sebanyak 28 pasukan sahaja. Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan serta piala iringan.

“Naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM6,000 dan RM4,000 berserta piala iringan manakala tempat keempat hingga ke-28, masing-masing akan menerima hadiah saguhati berbentuk wang tunai dan baucer.

“Selain itu, hadiah sampingan turut ditawarkan bagi kategori ‘team high game’ dan ‘team hi series’ yang bakal menerima hadiah berjumlah RM500 untuk peserta kumpulan manakala kategori individu iaitu ‘Ind Hi Game’, setiap peserta berpeluang memenangi wang tunai RM200 beserta telefon pintar Samsung J2 Prime,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, bagi peserta kategori ‘Ind Hi Series’ akan menerima hadiah berjumlah RM200 dan sebuah television jenis LCD 40 inci manakala peserta yang dapat melakukan markah jatuhan pin 251, 275 dan 281 juga akan diberikan hadiah ‘score exactly’ iaitu wang tunai RM200 manakala bagi jatuhan pin 300 (perfect game), akan menerima sebuah motosikal jenama modenas MR2 bernilai RM4,000.

Kejohanan itu akan menggunakan format kejohanan trio dan tiga ‘game’ seorang dengan setiap pasukan boleh mendaftar seramai lapan pemain dan akan dikenakan deposit sebanyak RM200 yang akan dipulangkan selepas pertandingan tamat.

Bagi yuran mingguan pula, bayaran sebanyak RM90 akan dikenakan bagi setiap pasukan dan setiap pasukan yang bertanding akan disediakan tempat parkir khas.

Kejohanan ini adalah anjuran bersama Wangsa Bowl, 100Plus, Hotel & Resort Palm Garden dan Berjaya Mega Motor.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Siti Salwa Azmi di talian 012-4843746, Maria Ismail (017-2046150) atau layari laman sesawang www.wangsabowl.com serta laman Facebook rasmi MBPJ @petalingjayacitycouncil, twitter dan instagram @pjcitycouncil.


Pengarang :