PENDIDIKAN SELANGOR

Hari Terbuka UNISEL 4.0 tampil kelainan tema

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 17 MAC: Universiti Selangor (UNISEL) komited meneruskan penganjuran Hari Terbuka Unisel 4.0 setelah melihat kejayaan edisi terdahulu, dengan mengangkat tema ‘Sukan & Kebudayaan’.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Mohd Redzuan Othman berkata, tema itu dipilih sebagai tarikan untuk menarik masyarakat setempat datang dan membabitkan diri dalam sukan serta aktiviti disediakan.

Katanya, program kali ini lebih cenderung kepada aktiviti meliputi pelbagai kelompok yang mana ia bukan sahaja terbuka untuk masyarakat setempat, malah menyambut baik kehadiran masyarakat umum.

“Selain itu, kita ingin memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertai pertandingan dalam setiap acara dipertandingkan dengan tawaran hadiah yang sangat menarik.

“Ada yang datang dari Melaka dan Terengganu sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran ini dan ia sesuatu yang membanggakan kita kerana UNISEL telah dikenali ramai,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui SelangorKini pada majlis Perasmian Hari Terbuka UNISEL 4.0, di Pusat Sukan IPIS, di sini, hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, acara yang bakal menjadi tumpuan utama pada hari terbuka itu adalah pertandingan memancing yang menawarkan hadiah keseluruhan RM20,000.

“Aktiviti lain yang disajikan termasuk tarik tali, street soccer, bola sepak, bola jaring, bola keranjang, drumline battle, extreme run, dodgeball, paintball, kabbadi, dan ragbi.

“Kita berharap edisi kali ini mencatat penyertaan lebih meluas dalam kalangan masyarakat umum berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :