EKONOMISELANGOR

IKTISASS: Ke arah menghadapi cabaran hadapi Revolusi 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) melaksanakan penjenamaan semula Youth Enhancement Strategy Selangor (YES) kepada Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) ke arah merealisasikan Smart Factory 4.0.

Pengurusnya, Izham Zakaria berkata, ia dilaksanakan bagi memberi laluan kepada teknologi ‘smart factory’ di Selangor bagi mendepani cabaran Revolusi 4.0.

Katanya, pelaksanaan IKTISASS menumpukan kepada kepada ‘high level’ Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sejajar dengan visi memberdayakan lulusan TVET ke tahap lebih tinggi.

“Smart Factory ini akan mendapat kerjasama pakar dari Switzerland melalui kursus jangka panjang dan pendek yang ditawarkan.

“Seperti kita tahu belia di negara ini sudah tidak berminat bekerja di kilang, jadi dengan inisiatif ini kita akan mewujudkan satu pekerjaan yang lebih menarik bagi industri perkilangan dengan penggunaan ‘smart apps, smart technology’ untuk digunakan pakai bagi menggantikan pekerja buruh.

“Disamping itu kita juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata, IKTISASS memberi peluang kepada anak muda lepasan SPM yang tidak menyambungkan pelajaran dan pelajar lepasan diploma dan ijazah yang masih menganggur.

SHRDC merupakan sebuah pusat latihan melahirkan tenaga yang diperlukan mengikut kapasiti industri disamping membantu belia mendapat pekerjaan yang sudah sedia menanti.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM7 juta daripada Kerajaan Negeri bagi menjayakan program IKTISASS.

Katanya, peruntukan terbabit bagi menampung enam kursus termasuk tiga kursus baru yang diperkenalkan.

“Berbanding tahun lalu, peruntukan itu ditambah merangkumi keseluruhan termasuk program belia lepasan SPM, Internship for high Impact Talent (I-HIT) dan Smart Technical Workforce.

“Ia juga bagi melancarkan lagi program baharu antaranya Selangor Smart SMEs (Perusaha Kecil dan Sederhana), Malaysia Essential Skills Training Initiative (MESTI Digital) dan Skim Perintis Meister Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :