BERITA UTAMASELANGOR

Isu air: Sultan Sharafuddin puji Selangor proaktif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji sikap proaktif Kerajaan Negeri mengganti paip lama yang pecah dan bocor, sekali gus mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Baginda bertitah, usaha itu menyaksikan NRW susut dari 32.6 peratus kepada 30.1 peratus, setakat ini dengan penggantian paip lama sepanjang 422.5 kilometer (km) membabitkan kos RM373.7 juta.

Titah baginda, langkah itu juga berjaya menjimatkan RM53.8 juta menerusi pelbagai usaha antaranya pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 yang menelan belanja RM177 juta dan sudah memulakan operasinya, pada 1 Mac lalu.

“Manakala, projek pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dijangka siap, pada hujung tahun ini dengan kapasiti 200 juta liter sehari (JLH) membabitkan kos RM497 juta.

“Dengan kedua loji ini, negeri Beta akan menikmati tambahan bekalan air bersih sebanyak 300 JLH,” titah baginda ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-13, di Dewan Annex, di sini.

Baginda turut memaklumkan rizab air terawat kini, pada tahap 3.99 peratus dan akan meningkat kepada 11.82 peratus, pada 1 Januari 2019 apabila Loji Rawatan Air Labohan Dagang beroperasi.

Titah baginda, simpanan air mentah di empangan negeri juga merekodkan tahap 100 peratus.


Pengarang :