SELANGOR

Jemaah Masjid Sungai Plong cedera disondol babi hutan

SUNGAI BULOH 7 MAC: Seorang jemaah sedang menunggu waktu solat Isyak, cedera disondol seekor babi hutan yang menceroboh ke dalam Masjid Sungai Plong di sini, malam tadi.

BH ONLINE melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, babi hutan itu dikatakan tiba-tiba muncul di pekarangan masjid sebelum mengejar beberapa kanak-kanak berada di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, haiwan itu kemudian lari masuk ke dalam masjid dan menyondol seorang jemaah sehingga cedera.

Menurut seorang jemaah yang tidak ingin dikenali, mereka yang terkejut dengan kejadian itu kemudian cuba menghalau haiwan berkenaan.

“Selepas lebih 30 minit, haiwan itu berjaya dihalau keluar ke pekarangan masjid.

“Namun, haiwan dipercayai cedera di kepala itu mengamuk dan menyondol seorang jemaah.

“Haiwan itu kemudian ditembak mati oleh seorang jemaah yang memiliki senapang patah,” katanya.

Katanya, jemaah masjid sudah memaklumkan perkara itu kepada polis.

“Jemaah masjid turut menghubungi pihak Jabatan Mufti Selangor bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Difahamkan, mereka akan hadir esok (hari ini) bagi membuat penilaian berkaitan masalah berkenaan,” katanya.

Katanya, jemaah masjid kemudian menunaikan solat seperti biasa di ruang sembahyang yang tidak terjejas.

=EZY=


Pengarang :