BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Ayuh anak muda bangkit selamatkan Malaysia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 17 MAC: Kerajaan Negeri menyarankan generasi muda membuat pilihan tepat sekaligus menyelamatkan Malaysia menjadi lebih bermaruah demi masa depan negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana anak muda Selangor warisan dan penentu kepada masa depan negara ini.

“Saya mahu anda semua bangkit menyelamatkan negara dan menolak fitnah yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri dengan memberi penjelasan kepada rakyat.

“Negara ini perlukan anak-anak muda yang mempunyai semangat juang yang tinggi sebagai lapisan pemimpin pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Karnival Himpunan Rakyat yang bertemakan ‘Membangun Bangsa Memakmurkan Selangor Masa Depan Malaysia’ di Stadium Malawati, di sini.

Pada program itu, Mohamed Azmin turut meluahkan rasa gembira dengan sambutan yang diberikan oleh anak muda.

“Lebih separuh yang memenuhi dewan pada hari ini adalah orang-orang muda. Ini memberi petanda baik bahawa masih ada anak muda yang mempunyai prinsip dan yang berani untuk ke depan.

“Saya percaya melalui semangat yang ditunjukkan ini, kita mampu mempertahankan Selangor bahkan dapat menyuburkan demokrasi di negeri ini dan Malaysia akan terbentuk di bawah peduli rakyat yg menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Karnival Himpunan Rakyat itu diadakan bersempena dengan Ulang Tahun Ke-10 pentadbiran Kerajaan Selangor yang bermula selepas Pilihan Raya Umum ke 12, pada 2008.

=EZY=


Pengarang :