SELANGOR

MB: Jalin ukhwah rakyat, tepis sentimen fitnah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 25 MAC: Rakyat disaran mengamalkan prinsip kesatuan dan ukhwah yang tinggi bagi menepis sentimen fitnah dan anasir jahat yang dilemparkan pihak luar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, wujudnya anasir negatif itu bagi memecahbelahkan kestabilan dan keharmonian yang dikecapi masyarakat di negeri ini.

“Saya berharap rakyat akan terus berpegang kepada prinsip dan idealisme perjuangan yang cukup jelas dan jangan mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak luar.

“Justeru, wujud tuntutan agar masyarakat terus bersatu menjalin ukhwah yang cukup baik dan kuat antara masyarakat dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Atas kekuatan inilah yang menjadi bekalan buat kita untuk menempuh sebarang dugaan dengan tenang dan baik,” katanya.

Pada masa kata Mohamed Azmin, walaupun pentadbiran negeri kini diserang dengan dakwaan berunsur fitnah pihak luar, namun tanggungjawab pentadbiran negeri untuk melestarikan keharmonian rakyat kekal utuh.

Katanya, sentimen negatif yang dimainkan pihak luar tidak akan menghentikan iltizam dan komitmen tinggi pentadbiran Selangor hingga kini.

“Walaupun Selangor diserang setiap malam, tetapi atas prinsip sabar dan tawakal, Kerajaan Negeri terus mengambil iktibar kerana untuk melakukan yang terbaik itu bukan mudah.

“Atas dasar sabar itu, tidak mustahil yang sukar itu dipermudahkan dan fitnah akan dipatahkan sekali gus kebenaran akan terserlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan di Surau Nurul Hijrah Al- Khlidah, Kampung Melayu, Sungai Sering Bukit Antarabangsa, petang ini.

Perkembangan muktahir ini menyaksikan banyak laporan dan dakwaan tidak benar yang dimainkan pihak tertentu, bertujuan memburukkan imej pentadbiran Selangor ketika musim pilihan raya bakal diadakan tidak lama lagi.

=EZY=


Pengarang :