SELANGOR

MB saran patuh titah Sultan, henti politikkan isu air

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Semua pihak harus menghentikan perbuatan mempolitikkan isu air seperti mana dititahkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun malangnya perbuatan mempolitikan isu air ini masih terus berlaku.

“Saya dapat menyelami perasaan tuanku kerana tuanku telah pun menitahkan perkara ini pada tahun lalu supaya isu air ini tidak dipolitikkan dan harus ditangani dengan bertanggungjawab oleh semua pihak,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam, Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 di DNS di sini, hari ini.

Jelasnya, dalam titah ucapan perasmian Pembukaan Persidangan DNS sebentar tadi Sultan Sharafuddin turut mengulangi titahnya supaya Kerajaan Persekutan dan Kerajaan Negeri berkerjasama atas semangat federalisme untuk memuktamadkan isu pengurusan air di Selangor.

Katanya, pada masa sama baginda juga amat berkenan dengan langkah proaktif diambil Kerajaan Negeri untuk menjamin kelestarian bekalan air di negeri itu.

“Bukan sahaja air terawat tetapi juga air mentah dengan pembinaan loji rawatan air, penggantian paip lama, pengurangan air tidak berhasil (NRW) dan semua ini membuktikan Kerajaan Negeri berpandangan jauh untuk tidak menggangu bekalan air terawat dan air mentah dalam Negeri Selangor,” katanya lagi.


Pengarang :