BERITA UTAMASELANGOR

MB: Tak harus pertikai kenyataan Kerajaan Negeri berhubung isu Ijok

OLEH HAFIZAN TAIB

KAPAR, 23 MAC: Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan kenyataan lengkap berhubung isu tanah di Ijok dan ia seharusnya menjawab persoalan dibangkitkan pelbagai pihak berkaitan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan diberikan itu seharusnya tidak dipertikaikan dengan Kerajaan Negeri sudah mencapai jalan penyelesaiaan melalui saluran undang-undang.

“Kita sudah beri penjelasan cukup panjang lebar dan semua keterangan juga bukti sudah diberikan dalam kenyataan bertulis secara umum itu.

“Jika tidak dibuat, ia akan diputar belitkan media arus perdana,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Ia menjadi persoalan ekoran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.

Dalam kenyataan media melalui Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong, pada 15 Februari lalu menjelaskan Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan masalah peneroka tanah terbabit hanya dalam tempoh empat tahun.

Katanya, Mohamed Azmin amat mementingkan pembelaan peneroka tanah di mukim Ijok itu dan setiap peneroka terbabit mendapat pampasan RM180,000 dan rumah yang sekarang bernilai sekurang-kurangnya RM400,000.

“Masalah berkenaan sebenarnya timbul pada masa pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) kerana peneroka menunggu selama 18 tahun untuk memperoleh keadilan.

“Tindakan segera Mohamed Azmin menyelesaikannya adalah prinsip keadilan sosial dan peduli rakyat Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :