SELANGOR

Penuntut kolej swasta hilang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 MAC: Seorang penuntut kolej swasta dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sewanya, di Seksyen 16, di sini, semalam.

Mohammad Hafiz Ismail, 24, dipercayai keluar bersama rakannya yang dikenali sebagai Wan menuju ke pasar malam dengan menaiki kereta Perodua Axia milik mangsa, pada jam 12.58 tengah malam.

Mangsa difahamkan ada menghubungi teman wanitanya, Sabrina Al-Jufri, sebelum keluar bersama rakannya itu.

Sabrina memaklumkan, beberapa jam selepas itu dia cuba menghubungi Hafiz, namun cubaan itu gagal apabila panggilan tidak dijawab.

Sabrina berkata, sejurus selepas itu dia menghubungi ibu mangsa untuk mendapatkan kepastian berhubung keberadaan Hafiz.

Bagaimanapun, ibu mangsa, Noorliah Kasbullah, 48, mengetahui anak lelakinya hilang selepas dimaklumkan Sabrina.

Noorliah berkata, dia juga cuba menghubungi anaknya itu, namun gagal kerana telefon bimbitnya sudah dimatikan.

“Hafiz pernah memaklumkan sebelum ini rakannya itu bekerja sebagai pembantu kedai makan berhampiran rumah sewanya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan Muhammad Hafiz diharap boleh tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Siasatan masih giat dijalankan sebagai laporan orang hilang.


Pengarang :