SELANGOR

MDKL siap sedia hadapi perubahan cuaca

OLEH SABIRAH AZIZ

BANTING, 27 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana ekoran perubahan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya bekerjasama dengan Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) bagi mengatasi masalah seperti banjir kilat dan pokok tumbang.

“Kami sudah memantau kawasan berkemungkinan berlaku kejadian ini. Kami juga memeriksa keadaan pokok bermasalah dan tumbang di kawasan yang sering terlibat.

“Skuad PANTAS turut digerakkan bagi menyelesaikan masalah pokok tumbang, menyelamat serta memindah mangsa banjir dan kebakaran supaya ia diselesaikan segera,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MDKL Bilangan 2, 2018, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Zain berkata, MDKL melalui KDEB Waste Management (KDEBWM) kini dalam proses menyelesaikan masalah longkang rosak dan tersumbat serta sampah.

“Kami kini memfokuskan kepada kawasan bermasalah dan memerlukan penyelesaian segera,” katanya.

Terdahulu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, fasa peralihan monsun dijangka bermula hari ini dan akan berterusan sehingga pertengahan Mei, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut.

Dalam tempoh berkenaan, kawasan serantau negara akan mengalami tiupan angin daripada pelbagai hala dengan kelajuan rendah serta keadaan cuaca seperti hujan lebat, ribut petir dan angin kencang terutamanya pada waktu petang dan awal malam.

Ia lebih kerap berlaku di kawasan negeri pantai barat, pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak, dengan ribut petir kuat disertai hujan lebat dan angin kencang sehingga menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur tidak kukuh.


Pengarang :