PBTSELANGOR

Operasi berterusan MPAJ atasi masalah haiwan liar

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalankan operasi berterusan bagi mengatasi masalah haiwan liar di kawasan Ampang Jaya.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain, berkata MPAJ mendapat kerjasama Jabatan Perhilitan Selangor bagi menjayakannya dan tangkapan sentiasa dilakukan terutama berkaitan anjing liar.

“Biarpun kadang kala menghadapi kesukaran kerana apabila operasi dijalankan, kumpulan anjing liar ini memasuki hutan tetapi kita sentiasa memantau keadaan terutama kawasan perumahan berhampiran hutan.

“Kebiasaannya kita berjaya menangkap dalam anggaran 100 hingga 200 ekor anjing liar sebulan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kehadiran haiwan liar di kawasan perumahan di sekitar Ampang Jaya berikutan terdapat banyak hutan iaitu lebih kurang 50 peratus di situ.

Selain anjing liar, katanya, haiwan seperti monyet dan babi hutan juga kadang kala ada di kawasan hutan berhampiran kediaman orang ramai seperti Taman Tun Abdul Razak.

“Bila masalah (babi hutan) ini, MPAJ bersama Jabatan Perhilitan Selangor mengambil tindakan menghalaunya dan bagi monyet pulak, kita bersama persatuan penduduk menutup jalan bagi menghalang orang ramai masuk memberi makanan mengakibatkan kumpulan haiwan ini keluar bergerak ke kawasan kediaman penduduk bagi mencari makanan.

“Maka kita meminta kerjasama Jabatan Perhilitan Selangor untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kes membabitkan monyet dan babi hutan pada tahun ini agak berkurangan berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi mengatasi masalah ini, kita meminta orang ramai supaya menjauhi haiwan liar ini dengan memastikan kediaman dijaga dengan baik selain tidak memberi makanan kepadanya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :