NASIONAL

Pengundi Titiwangsa kecewa prestasi Johari, jarang turun padang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 MAC: Pengundi Parlimen Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman mengakui Ahli Parlimen kawasan itu tidak memainkan peranannya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Umno, jarang turun padang meninjau permasalahan setempat yang berlaku di kawasan itu.

“Sememangnya Ahli Parlimen Titiwangsa itu gagal menguruskan kawasan dan hanya kelihatan bila perlu tunjuk muka sahaja.

“Sebagai anak jati Kampung Baru dan Titiwangsa, Johari dilihat gagal mengurus isu terbesar iaitu menyatukan pemilik tanah di Kampung Baru,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, Johari hanya bijak bermain retorik politik dengan janji-janji palsu yang gagal dilaksanakan sehingga.

“Menuduh saya memetik fakta tepi jalan adalah hujah yang paling lekeh boleh digunakan oleh Barisan Nasional. Saya lahir, bersekolah dan membesar di Kampung Baru, Titiwangsa.

“Tentunya saya akan bangkit menyatakan ketidak puasan hati terhadap kualiti urus tadbir seorang Ahli Parlimen, kerana saya adalah pengundi di Parlimen Titiwangsa,” katanya.

Sebelum ini, perkara sama turut dipertikai Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau sebelum ini dilapor berkata, langkah untuk meletakkan Johari sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya Umno memegang tampuk kepimpinan negeri, perlu dikaji semula kerana kegagalannya untuk mengurus tadbir kawasan Parlimennya dengan baik.

Pihak SelangorKini sedang cuba mendapatkan komen Johari bagi memberikan penjelasan berkenaan dakwaan itu namun masih belum memberikan sebarang komen.

=EZY=


Pengarang :