NASIONAL

Penganalisis politik ramal Pakatan kukuh sedia hadapi PRU14

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 MAC: Penganalisis Politik, Mohamad Sayuti Omar menjangkakan sokongan rakyat terhadap Pakatan semakin bertambah menjelang Pilihan Raya Umum 14 (PRU) depan.

Beliau berkata, walaupun pentadbiran Umno Barisan terus ‘menggula-gulakan’ rakyat dengan pelbagai janji politik, namun rakyat tidak semudahnya terpengaruh dengan agenda retorik itu.

“Taburan wang dan pelbagai insentif serta ribuan janji projek ratusan jutaan ringgit dilafazkan Najib tampak tidak banyak merubah suasana serta mempesonakan rakyat. Ia tidak berbekas.

“Sikap pengundi yang dilihat rata-rata akan menggunakan kuasa mutlak yang mereka miliki; bertindak bijak dengan mengambil wang dan apa sahaja yang dihulur namun akan merahsiakan undi mereka mencemaskan Najib.

“Pengundi tidak memberi komitmen mereka ambil pemberian tetapi rela menggadaikan undi,” tulisnya dalam blog msomelayu.

Katanya, sokongan rakyat terhadap Pakatan bertambah menerusi sambutan dan penyertaan orang awam pada siri jelajah yang diadakan di peringkat akar umbi.

Ia turut dibuktikan pada siri turun padang pimpinan Pakatan yang diterajui Tun Mahathir Mohamad di Bera, Pahang tahun lalu.

Sambutan di situ apabila Dr Mahathir turun di luar jangkaan. Walaupun ada usaha membendung kehadiran rakyat dengan ugutan, namun ugutan itu tidak dihiraukan lagi.

“Mungkin kehadirannya tidak seramai di Johor ataupun di Kemunting Perak, tetapi kesediaan rakyat pedalaman kebanyakan peneroka untuk hadir mendengar syarahan Dr Mahathir sudah memadai dan sesuatu yang sangat positif.

“Di sinilah benar perkiraan politik para pemimpin PH bahawa Dr Mahathir menjadi ikon baru pembangkang sementara Anwar Ibrahim keluar penjara untuk mengambil alih mengemudi negara,” tulisnya lagi.

Sayuti turut memetik laporan dinyatakan Pengerusi IDE, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman yang mendedahkan aura dan dokongan Dr Mahathir tidak boleh diremehkan.

“Dr Mahathir katanya masih menjadi pujaan orang Umno yang akan menyokong memberi undi kepada bekas PM itu ke mana beliau pergi.

“Menurut Redzuan orang Umno tidak akan keluar Umno kerana mereka setia kepada parti itu tetapi orang Umno akan marah apabila Dr Mahathir dicaci dan dihina. Keadaan ini sesuatu yang positif kepada PH, katanya.

“Apa lagi kesediaan Dr Mahathir untuk bersama Anwar Ibrahim memberi satu momentum baru buat Pakatan Harapan dan ini tidak boleh diremehkan,” tulisnya.

=EZY=


Pengarang :