SELANGOR

Pesta Buku Selangor sasar 400,000 pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Pesta Buku Selangor 2018 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, menyasarkan sebanyak 400,000 pengunjung bagi edisi ke 13 penganjuran itu.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan daripada orang awam sepanjang tiga hari pameran anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Katanya, cuti hujung minggu memberi peluang untuk orang ramai daripada segenap lapisan masyarakat mendapatkan pelbagai pilihan menarik sehingga menyebabkan ruang pameran penuh sesak.

“Jumlah pengunjung dijangka terus bertambah kerana kemeriahan sambutan terpancar sejak hari pertama pameran lagi.

“Kami berharap jumlah itu konsisten sekaligus mencapai sasaran pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2018, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mastura berkata, pameran terbesar di Selangor turut menampilkan kelainan setelah buat julung kalinya, penerbit buku antarabangsa dari Singapura (Bloomsbury) dan United Kingdom (Wiley & Sons) menjadi tetamu jemputan.

“Mereka akan guna kesempatan ini untuk mengetengahkan pelbagai koleksi buku berkaitan kebudayaan masyarakat di negara tersebut.

“Jumlah pempamer juga menunjukkan peningkatan positif yang mana hanya 85 penerbit menyertai kami pada tahun lalu, tetapi kali ini menyaksikan 100 pempamer pelbagai syarikat penerbit tempatan dan pengedar buku,” katanya.

Terdahulu, Pesta Buku Selangor 2018 mengangkat tema “Membaca Mencetus Kreativiti” membawa maksud membaca menjadi asas dalam proses literasi dan penguasaan ilmu setiap individu.

Manakala kreativiti lahir secara semulajadi dalam individu tertentu, namun tidak bermakna keupayaan berkreatif serta berinovasi tidak boleh dibentuk.

Pesta yang berlangsung selama 11 hari bermula dari 29 Mac hingga 8 April itu menawarkan harga jualan yang murah dengan bermacam-macam bahan bacaan menarik.

=EZY=


Pengarang :