SELANGOR

PEKAWANIS giat laksana kempen banteras pornografi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) giat melaksanakan Kempen Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP) di sekitar negeri ini.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, kempen berkenaan dilaksanakan atas dasar prihatin akan kesan negatif pornografi yang boleh menjejaskan keharmonian keluarga.

Katanya, kempen itu menekankan keperluan ibu bapa untuk memantau tahap penggunaan gajet oleh anak mereka secara bijak.

“Pendekatan ini amat diperlukan dan jika kanak-kanak tidak dibimbing untuk menguasai penggunaan teknologi, keluarga kita berkemungkinan akan dikuasai teknologi.

“Hal ini bukan sahaja kanak-kanak dan remaja yang berhadapan dengan krisis gejala pornografi, hubungan suami isteri akan turut terancam jika tiada pemantauan dan kawalan yang sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen STOP yang diadakan di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Wadah Selangor, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail, Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS), Mahanom Basri dan Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nur Izura Udzir selaku panel Kempen STOP.

Shamshida berkata, pendedahan kepada pornografi dalam jangka masa panjang pada usia dewasa dan berumahtangga ternyata akan menganggu komitmen sesama pasangan yang terlibat dan menjurus kepada tingah laku curang dan risiko perceraian.

“Jika setiap keluarga dalam komuniti kita dibiarkan hancur tanpa intervensi kolektif institusi masyarakat, maka sampai bilakah keluarga kita akan selamat?,” soalnya.

“Oleh itu, pentingnya kempen seperti ini dilaksanakan bertujuan memberi kesedaran kepada setiap manusia tidak kira golongan kanak-kanak mahupun dewasa,” katanya.

Kempen berkenaan turut mendapat kerjasama dan sokongan bersama Wadah Selangor dan PTNS.

=EZY=


Pengarang :