SELANGOR

RM6.6 juta bangun sektor ternakan dan industri asas ternak

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 23 MAC: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan pembangunan RM6.6 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) bagi membangunkan sektor ternakan dan industri asas ternak di Selangor, pada tahun ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sejumlah 37 lembu tenusu adalah serahan pertama dilakukan Kerajaan Negeri menerusi peruntukan itu.

“Kerajaan Negeri melalui DVS Selangor juga sudah merancang untuk mengagihkan bantuan kepada penternak ruminan (lembu, kambing dan bebiri) berjumlah RM835,000.

“Ia membabitkan 20 lembu tenusu, 47 lembu pedaging, 35 kambing pedaging, 90 bebiri, lima set bahan binaan kandang, lima mesin pericih rumput dan pelbagai jenis bantuan pemakanan ternakan,” katanya pada majlis penyerahan lembu Tenusu Bantuan Kerajaan Selangor, di Kampung Perepat, Sementa, Kapar, di sini.

Zaidy turut menyerahkan 37 lembu tenusu kepada sembilan penerima bantuan dari daerah Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang.

Sementara itu, Pengarah DVS Selangor, Dr Akma Ngah Hamid berkata, semua 37 lembu tenusu yang diserahkan kali ini adalah daripada baka Friesian Jersey.

“Setiap seekor baka ini berharga RM10,600 menjadikan keseluruhan lembu yang diagihkan bernilai RM392,200.

“Pembelian semua ternakan ini menggunakan peruntukan pembangunan di bawah projek Skim Penternakan Breedlot dan Program Merakyatkan Ekonomi kepada penternak ruminan,” katanya.


Pengarang :