NASIONAL

Saran anak tempatan tanding Parlimen Titiwangsa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 MAC: Calon anak tempatan bagi Parlimen Titiwangsa dalam kalangan anak tempatan boleh diketengahkan bagi merampas kerusi berkenaan daripada penyandangnya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhammad Syafiq Shabaruddin berkata, senario pilihan pengundi Titiwangsa lebih berpihak kepada calon tempatan, sebelum ini.

Beliau berkata, ia dibuktikan menerusi kemenangan Dr Lo’ Lo’ Ghazali, pada Pilihan Raya Umum ke-12.

“Antara faktor kekalahan Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi di tangan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pada pilihan raya lalu kerana sentimen anak tempatan dimainkan jentera Barisan Nasional (BN).

“Johari yang berasal dari Kampung Pandan mempunyai kelebihan dan dilihat sebagai anak tempatan di Titiwangsa, manakala Zamri bukan anak tempatan.

“Zamri tewas 1,656 majoriti undi dari Kampong Bharu dan Keramat menyumbang kepada kekalahan beliau, di Titiwangsa dengan 866 majoriti secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, faktor anak tempatan yang memahami isu setempat khususnya membabitkan tanah warisan di Kampong Bharu dilihat mempunyai kelebihan untuk berkempen bagi menentang calon BN.

“Calon anak tempatan dari Pakatan Harapan diyakini mampu memberikan sedikit kelebihan untuk berkempen di saat akhir, khususnya di kawasan teras Melayu seperti di Kampong Bharu, Keramat dan Pandan,” katanya.

Parlimen Titiwangsa memiliki jumlah pengundi Melayu agak tinggi iaitu 68 peratus, diikuti Cina 20%, India 10% dan lain-lain bangsa 2%.

Dari 68% jumlah pengundi melayu, hampir 63% adalah pengundi di kawasan teras Melayu seperti Kampong Bharu, Keramat dan Pandan.

Kampong Bharu sahaja mencatat peratusan jumlah pengundi mencecah 23%, diikuti Keramat 22% dan Pandan 18%.


Pengarang :