EKONOMISELANGOR

Selangor sasar pelaburan perkilangan RM7 bilion

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor mensasarkan perolehan RM7 bilion bagi sektor perkilangan domestik dan pelaburan asing, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, jumlah berkenaan diyakini mampu dicapai hasil kepesatan pembangunan ekonomi negeri.

“Tahun lalu, RM3 bilion berjaya diraih bagi tempoh sehingga penghujung suku.

“Sementara itu, untuk prestasi tahun ini, pelaburan sektor perkilangan domestik dan ‘foreign direct investment’ yang disasarkan adalah RM7 bilion,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini ketika ditemui pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, di Dataran Petaling, baru-baru ini.

Terdahulu, Invest Selangor optimis mencapai sasaran pelaburan tahun ini walaupun berdepan krisis ekonomi dunia yang mencabar.

Hasan Azhari berkata, Invest Selangor akan mengambil beberapa langkah proaktif dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.

Ia termasuk meningkatkan hubungan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dewan perniagaan tempatan dan luar negeri.

Selain itu, tumpuan lain termasuk inisiatif meningkatkan rombongan perdagangan ke luar negara melalui seminar pelaburan atau mesyuarat meja bulat.


Pengarang :