RENCANASELANGOR

Sibukkan Selangor, negeri Umno-BN bagaimana?

OLEH NAEEM RAFFI

Kisah gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor hebat dicanang media arus perdana seperti ia suatu krisis ‘maha dahsyat’ sedang dan pernah berlaku di negara ini.

Oleh kerana Selangor ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN), Umno-Barisan Nasional (Umno-BN) jadikan ia modal politik yang akan terus dimanfaat sebaik mungkin.

Maklumlah, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.

Masakan tidak, negeri yang pernah diperintah Umno-BN satu ketika dahulu sudah beralih ‘kasih’ malah semakin ‘sayang’ kepada PAKATAN yang kini sudah dua penggal mentadbir.

Kembali kepada krisis yang cuba dicanang sebagai ‘maha dahsyat’, Umno-BN menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan penuh keyakinan didada melontarkan hasrat mengajak rakyat Selangor kembali ‘rujuk’ mengikat kasih setelah satu dekad ditolak.

“Saya dah dapat laporan tentang kisah pentadbiran air di Selangor ini. Apa cara untuk selesaikan (masalah ini), tukar dan tawan semula kerajaan Selangor, saya janji masalah air selesai,” katanya pada Majlis Jamuan Rakyat dan pelancaran Jentera BN Selangor di Dataran Kampung Sungai Chik, Ulu Yam, baru-baru ini.

Manisnya janji Najib, namun hakikatnya negeri yang kini sedang ditadbir Umno-BN (selepas PRU-14 belum tentu lagi) turut mengalami gangguan bekalan air.

Bezanya, berita gangguan itu berbentuk pengumuman kepada rakyat terlibat untuk membuat persiapan selain diselit nasihat bijak meminimakan penggunaan air.

Tidak pula dicanang dan digembar-gemburkan sebagai krisis ‘maha dahsyat’ kepada rakyat menerusi media.

Negeri Umno-BN juga ada kisahnya

Pada 23 September 2017, enam kawasan di Perlis mengalami gangguan bekalan air ekoran rumah pam air mentah di loji air Empangan Timah Tasoh, Beseri ditenggelami air.

Kawasan terlibat dengan gangguan berkenaan adalah seluruh Beseri, Titi Tinggi, Padang Besar, Kaki Bukit, Bintong, Kangar serta kawasan sekitarnya.

Ini pula kisahnya di Perak pada 15 Februari lalu, gangguan bekalan air berlaku di Seri Iskandar, Bota Kanan dan kawasan sekitar yang akhirnya pulih setelah tergendala sejak beberapa hari sebelum itu.

Gangguan disebabkan operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Senin terpaksa dihentikan kerana paras air Sungai Perak turun mendadak sehingga ke bawah paras operasi minima.

Masih didalam negara, 1.8 juta penduduk selatan Johor turut mengalami gangguan bekalan air besar apabila tiga loji rawatan air ditutup ekoran tahap ammonia tinggi dijumpai pada air mentah dari Sungai Johor, pada 28 Oktober 2017.

Sekurang-kurangnya tiga daerah, iaitu Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi, terjejas ekoran penutupan tersebut.

Mari kita terbang ke negeri di bawah bayu, Sabah. Dengar ceritanya 272 penduduk Kampung Muanad 1 dan 2 terputus bekalan air berikutan kerja pembaikan paip pecah di kawasan berhampiran Pekan Beluran.

Ia bagaimanapun berjaya dipulihkan pada 18 November 2017 iaitu selepas 10 hari penduduk di sana terputus bekalan air.

Dalam tempoh itu, ada dalam kalangan penduduk terpaksa mengambil sumber bekalan air dari sebuah perigi untuk tujuan harian.

Di Sarawak pula, penduduk sering mengadu mengalami gangguan bekalan air dan ada juga melaporkan kejadian paip pecah kononnya berpunca daripada kerja-kerja penggalian dijalankan kontraktor pakej Lebuhraya Pan Borneo.

Kementerian Utiliti Sarawak meminta Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd dan kontraktor serta sub kontraktor pakej supaya melaksanakan tugas dengan penuh teliti dan berhati-hati bagi mengelak gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja penggalian.

Banyak kisah sama jika penulis mahu kongsikan, cukuplah ini sahaja untuk mengingatkan bahawa semua negeri ada ceritanya.

Kesimpulan

Penulis sekadar bertanya, sejauh mana kesungguhan Umno-BN mahu memulihkan krisis ‘maha dahsyat’ di Selangor, jika negeri yang mereka kelola juga terputus bekalan air?


Pengarang :