SELANGOR

SDAR juara Debat dan Pidato Yayasan Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 19 MAC: Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, muncul juara Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor kali ke-10, yang diadakan di Asrama Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Pertandingan yang bermula sejak 16 Mac (Jumaat) dan berakhir hari ini, menyaksikan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan piala pusingan.

Perasmian penutup dan penyampian hadiah disampaikan Setiausaha Kanan, Exco Pendidikan, Pembangunan Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Abbas Awang mewakili Nik Nazmi Nik Ahmad.

Salah seorang wakil juara, Muhammad Amin Baihaqi Mat Zuki berkata, kemenangan berkenaan dapat memupuk ukhwah dan kerjasama berpasukan dalam kalangan mereka yang mewakili sekolah.

“Melalui pertandingan ini, kami bukan hanya mendapat fakta sahaja malah bersaing secara sihat antara satu sama lain seperti melakukan perbincangan serta menghasilkan idea untuk dibahaskan bersama-sama.

“Ini adalah kejayaan yang baik untuk dikecapi bersama dan kami rasa sangat berbangga kerana sepanjang pertandingan ini berlangsung, semuanya berjalan dengan lancar.

“Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan supaya melahirkan generasi pelapis pendebat sekali gus menerapkan pelbagai fakta dan maklumat yang berguna untuk dijadikan panduan,” katanya kepada Selangor Kini.

Muhammad Amin yang juga memenangi kategori pendebat terbaik turut membawa pulang hadiah wang tunai RM200, sijil dan piala.

Pertandingan anjuran Yayasan Selangor itu kini telah memasuki satu dekat penganjurannya, bertujuan mengembangkan kemahiran pendebat dan pemidato dengan format, gaya dan kemahiran dalam melahirkan idea bernas dan pengucapan awam berkualiti.

Ia terbukti melahirkan pelajar serba boleh yang tidak hanya tertumpu dalam bidang akademik, kokurikulum dan keusahawanan sahaja.

Sebanyak 33 buah sekolah terbaik menyertai pertandingan yang terbuka kepada semua jenis aliran sekolah dari setiap negeri.


Pengarang :