AGAMABERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima penyerahan zakat perniagaan RM23.7 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 22 MAC: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada lima syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM23.7 juta.

Penyerahan zakat perniagaan itu diadakan dalam satu upacara di Istana Alam Shah, di sini.

Lembaga Tabung Haji diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mendahului senarai syarikat pembayar dengan jumlah zakat perniagaannya bagi tahun kewangan 2017 sebanyak RM17.1 juta.

Ia diikuti dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwakili Pengerusinya, Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 sebanyak RM2.7 juta.

Manakala, Northport (Malaysia) Berhad menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 berjumlah RM1.49 juta yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof manakala Bank Islam Malaysia Berhad diwakili Pengerusinya, Datuk Zamani Abdul Ghani menyerahkan sejumlah RM1.25 juta bagi tahun kewangan 2017.

Selain itu, turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Berhad, Dato’ Mahmud Abbas sebanyak RM1.07 juta bagi tahun kewangan 2016.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Setia Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Prof Dato’ Dr Aziuddin Ahmad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Syariah Bank Islam, Nazri Mohd Chik berkata pengagihan zakat itu berjumlah RM1.53 juta merupakan sebahagian daripada keseluruhan zakat perniagaanya berjumlah RM13.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 2017.

Katanya, Bank Islam sentiasa meletakkan kemajuan ekonomi seiring dengan kesejahteraan masyarakat dan ia menjadi sebahagian daripada operasi dan identiti Bank Islam sebagai pangantara berasaskan nilai.

“Kewajipan berzakat ini adalah sebahagian dari nilai murni yang diterapkan di Bank Islam disamping menunaikan tuntutan agama. Dengan pengeluaran ini, ia akan membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi asnaf serta menyumbang kepada pembangunan ummah.

“Bank Islam terus komited menjadi wakil penyaluran zakat melalui program tanggungjawab korporat AMAL yang membabitkan inisiatif seperti projek bantuan rumah Bank Islam, pendidikan dan keusahawanan,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :