AGAMASELANGOR

Teladani kisah Rasulullah menerusi Rehlah Nabawiyyah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 MAC: Menyedari pentingnya masyarakat Islam meneladani perjuangan Rasulullah SAW, Yayasan Restu mengambil inisiatif menjadikan pusat itu sebagai tarikan orang ramai dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Abdul Latiff Mirasa berkata, penjenamaan dikenali sebagai Rehlah Nabawiyyah itu bukan sekadar sejarah, malah turut mengetengahkan elemen peradaban yang boleh diteladani melalui sirah dan peribadi Baginda.

“Pada asasnya, penghasilan pameran ini untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran dan pusaka Baginda, selain membawa suatu pembaharuan dalam mempamerkan al-Quran dan al-Sunnah.

“Pameran ini turut menggunakan konsep ilmu dan dakwah secara realiti dalam bentuk teknologi digital yang akan menarik minat lebih ramai anak muda amnya, untuk menyaksikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Rehlah Nabawiyyah, di Kompleks Seni Islam Antarabangsa, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Latif turut menyeru umat Islam supaya sentiasa menghayati kisah perjuangan Nabi Muhammad SAW dengan sebaiknya, bagi memastikan rasa cinta terhadap Baginda tidak luntur.

“Pengunjung akan berpeluang merasai pengalaman berada di zaman lampau sepanjang lima bulan pameran berlangsung, di sini.

“Selain itu, ia memberi peluang kepada masyarakat untuk mengambil iktibar rentetan kisah Baginda menempuh rintangan dalam menyebarkan dakwah,” katanya.

 


Pengarang :