SELANGOR

Teliti semula penyediaan EIP lebih meluas

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri akan membuat penelitian semula dalam menyediakan Program Intervensi Awal (EIP) di Selangor yang lebih luas supaya dapat dinikmati golongan keluarga mempunyai anak-anak berkeperluan khas.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ia kerana pelaksanaan itu akan membabitkan kos implikasi kewangan yang tinggi.

“Pada 2017, sebanyak RM1.2 juta bantuan kewangan disalurkan kepada 13 buah institusi perkhidmatan pendidikan dan pelbagai jenis terapi kepada golongan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Pemberian bantuan ini banyak membantu institusi berkenaan membiayai kos yuran pengajian, menampung pendidikan dan perkhidmatan terapi, membiayai kos penambahbaikan dan operasi, serta menaik taraf kemudahan dan lain-lain.

“Justeru itu, melalui pemberian bantuan kewangan ini, ia secara tidak langsung dapat membantu keluarga yang mempunyai anak-anak istimewa dan memerlukan pendidikan serta keperluan khas bagi membimbing anak-anak ini meneruskan pembelajaran di bidang akademik, kehidupan seharian dan kemahiran sosialisasi diri serta perkembangan emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan diajukan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Mohamed Talha pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Pendidikan EIP adalah isu global yang harus dititikberatkan dan menjadi tanggungjawab pihak Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan keperluan kepada kanak-kanak berkeperluan khas bagi mendapatkan pendidikan sepatutnya.

Atas keprihatinan Kerajaan Negeri, peruntukan khas disediakan dalam membantu institusi yang menyediakan perkhidmatan dan pendidikan berkenaan kepada kanak-kanak terbabit untuk mendapatkan pendidikan, menambah baik kemudahan infrastruktur dan terapi seperti fisioterapi, terapi pekerjaan (occupational therapy), terapi ucapan (speech therapy) dan hidroterapi (hydrotherapy).

=EZY=


Pengarang :