SELANGOR

Tindakan serius kepada sekolah agama tidak berdaftar

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 10 MAC: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan serius kepada mana-mana sekolah agama di Selangor yang tidak mendaftar di bawah garis panduan pendaftaran dan keselamatan yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya amat menekankan perkara itu ekoran terdapat banyak sekolah agama di terutamanya sekolah tahfiz belum berdaftar dan mengabaikan keselamatan pelajarnya.

“Melalui pelaksanaan ini, satu garis panduan dikemas kini akan diberikan yang mana kita meletakkan jangka masa sesuai untuk sekolah mendaftar, sama ada dalam tempoh setahun atau enam bulan.

“Sekiranya sekolah itu sudah melepasi tempoh berkenaan, kita akan menutup operasi sekolah terbabit serta merta,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penyediaan Garis Panduan Pendaftaran dan Keselamatan Sekolah-sekolah Agama Islam Selangor, semalam.

Ahmad Yunus berkata, ia bertujuan membolehkan semua sekolah agama dapat memenuhi syarat-syarat asas ditetapkan setelah didaftarkan.

“Apabila berlaku sesuatu kemalangan seperti kebakaran, kebanyakan sekolah persendirian seperti sekolah tahfiz ini tidak memenuhi kriteria sedia ada dan hanya berpandukan dasar atau pengurusan sekolah sahaja.

“Bagi mengelakkan perkara sama berulang, mereka seharusnya menekankan aspek lain seperti bangunan dan keselamatan kerana selain memberikan pendidikan agama, menjaga nyawa dan keselamatan adalah perkara asas.

“Kita mahu mereka jelas dengan perkara ini yang mana akhirnya sekolah berkenaan akan mempunyai sudut keselamatan iaitu tidak terdedah dengan bahaya,” katanya.

Setakat ini, terdapat 265 sekolah tahfiz berdaftar manakala lebih 170 belum berdaftar dengan jumlah pelajar lebih 20,000.


Pengarang :