GLOBAL

Trump pecat Goldstein selepas Tillerson, siapa lagi selepas ini?

GLOBAL 14 MAC: Selepas memecat Setiausaha Negara, Rex Tillerson, Presiden Donald Trump bertindak memecat Timbalan Setiausaha Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Steve Goldstein selepas kenyataannya berhubung pemecatan Tillerson bertentangan dengan kenyataan White House.

Tiada alasan diberikan atas pemecatan itu namun terdahulu Goldstein yang merupakan Timbalan Setiausaha Hal Ehwal dan Diplomasi Awam telah memberitahu wartawan bahawa Tillerson tidak menjangka akan dipecat.

Tindakan pemecatan Goldstein dibuat melalui notis singkat kerana beliau dijangka akan bertemu wartawan dalam tempoh sejam selepas pengumuman itu.

Selepas pengumuman pemecatan Tillerson, Goldstein melalui Twitter memberitahu bahawa Presiden Donald Trump tidak memanggil Tillerson sebelum pengumuman itu dan `tidak tahu’ sebab pemecatan itu.

Para pegawai White House dan Jabatan Negara mengesahkan Trump telah memutuskan untuk melepaskan Goldstein.

`Ini merupakan penghormatan dalam hidup saya dan saya sangat berterima kasih kepada Presiden dan Setiausaha atas peluang ini. Saya tidak sabar untuk berehat,’’ kata Goldstein.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memecat Setiausaha Negara, Rex Tillerson susulan perselisihan terbuka mengenai beberapa isu termasuk Korea Utara dan Rusia, manakala tempatnya diganti oleh Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Mike Pompeo.

Rombakan terbesar dalam Kabinet Trump itu berlaku ketika White House melakukan persediaan untuk me ngadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada Mei depan.

Pemecatan Rex Tillerson menjadi pengakhiran perjanjian nuklear Iran dan terus memburukkan hubungan negara itu dengan sekutu utamanya di Eropah.

Ketika menjelaskan keputusannya memecat Tillerson, Trump berkata mereka tidak bersetuju dengan banyak perkara tetapi menyatakan dengan jelas satu perbalahan antara mereka iaitu sama ada untuk kekal dalam perjanjian Iran atau tidak.

“Apabila melihat kepada perjanjian Iran, saya rasakan ia teruk. Beliau berasakan semuanya OK.

“Saya mahu melanggar perjanjian atau melakukan sesuatu, tetapi beliau berfikir sebaliknya. Kami tidak berfikiran sama,” kata Trump.

SUMBER: AFP/ AGENSI

 


Pengarang :