SELANGOR

Tawaran penganugerahan gelaran Dato’ adalah palsu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 14 MAC: Surat tawaran penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor yang membawa gelaran Dato’ kepada individu bernama Goh Boon Leong adalah palsu.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat tawaran kepada individu berkenaan.

“Satu laporan polis telah dibuat ke atas individu terbabit atas dakwaan pemalsuan surat berkenaan yang kononnya telah mendapat perkenan Sultan Selangor.

“Surat palsu itu juga mengandungi beberapa fakta tidak benar termasuk menggunakan Jata Negeri Selangor yang salah serta nama dan tandatangan Setiausaha Dewan Diraja palsu,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan itu adalah satu jenayah penipuan yang amat serius, bertujuan memperdaya orang ramai, menjejaskan nama baik Sultan Selangor serta mencemarkan Institusi Diraja Selangor.

“Diharapkan, orang ramai mengambil maklum mengenai perkara ini dan mengelak daripada terpedaya atas cubaan individu tertentu yang melakukan penipuan demi kepentingan peribadi mereka.

“Orang ramai digesa mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang keraguan membabitkan penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :