SELANGOR

Abah dan umi iringi Mohd Khairuddin ke pusat pencalonan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 28 APR: Tiada apa lebih membanggakan seorang bapa melainkan melihat anaknya menabur bakti kepada rakyat dan memberikan sumbangan kepada negeri serta negara.

Peguam Syarie dan Sivil, Othman Mohd Noor, 70, bapa kepada calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau yakin Mohd Khairuddin telah memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat Paya Jaras.

“Saya nampak hubungan Khairuddin dengan rakyat sangat bagus, dia rajin turun padang.

“Selain dengan rakyat, dia juga mengutamakan hubungan dengan pemimpin tempatan seperti Datuk Penghulu, Ketua Kampung, Imam dan lain-lain,” katanya kepada media di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya P.107 Subang.

Ketika mengulas langkah Mohd Khairuddin berhijrah ke KEADILAN, beliau berkata perkara itu sudah dijangka sejak awal lagi.

Jelasnya, beliau sentiada memberi kebebasan kepada Mohd Khairuddin dan anak-anaknya yang lain memilih jalan politik masing-masing.

Othman dan isterinya, Faridah Mohd, 65 hadir pada hari penamaan calon bagi memberi sokongan kepada anak kedua daripada sembilan adik beradik itu.

=EZY=


Pengarang :