GLOBAL

Arab Saudi pintas peluru berpandu pemberontak Yaman

RIYADH 23 APR: Pertahanan udara Arab Saudi semalam memintas peluru berpandu balistik dilancarkan pemberontak Yaman menyasarkan bandar Najran di sempadan selatan kerajaan itu menyebabkan sebuah ladang terbakar, kata media kerajaan.

“Tentera Arab Saudi berjaya memintas peluru berpandu itu,” kata Agensi Berita Saudi, memetik tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang menentang pemberontak Houthi yang disokong Iran.

“Bagaimanapun serpihan peluru berpandu bertaburan di kawasan kediaman menyebabkan sebuah ladang milik penduduk terbakar, namun tiada kecederaan dilaporkan.”

Menurut pakatan, peluru berpandu itu dilancarkan dari Saada, kubu kuat Houthi di utara Yaman.

Sejak Mac 2015, Arab Saudi mengetuai tentera gabungan negara-negara Arab berjuang menentang Houthi di Yaman untuk mengembalikan semula kuasa kerajaan yang diiktiraf antarabangsa.

Hampir 10,000 orang terkorban dalam konflik yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

SUMBER: AFP


Pengarang :