GLOBAL

Arab Saudi tembak jatuh empat peluru berpandu puak Houthi

RIYADH 29 APR: Arab Saudi memintas empat peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh pemberontak Houthi semalam, kata pakatan tentera diketuai Riyadh yang menentang pemberontakan di Yemen tersebut.

Semua peluru berpandu itu menuju ke arah bandar Jizan, selatan Arab Saudi, demikian menurut pakatan Riyadh dalam satu kenyataan.

Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Stesen televisyen pemberontak Houthi, Al-Masirah melaporkan bahawa mereka melancarkan lapan misil ke arah Jizan, sehari selepas pasukan pertahanan Arab Saudi mengesahkan pihaknya menembak jatuh sebuah peluru berpandu yang menuju ke lokasi sama.

Serangan terbaharu itu berlaku ketika puak Houthi mengadakan majlis pengebumian pemimpin nombor duanya di ibu kota Yemen, Sanaa.

Saleh Al-Sammad yang mengetuai majlis politik agung puak Houthi, terbunuh dalam satu serangan udara oleh Arab Saudi dan sekutunya pada minggu lalu.

Arab Saudi membentuk pakatan ketenteraannya pada 2015 untuk memerangi pemberontak Houthi di negara jirannya itu bagi mengembalikan semula kuasa kerajaan Yemen yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Puak Houthi menguasai Sanaa dan hampir keseluruhan utara Yemen serta pelabuhan utamanya, Hodeida.

Hampir 10,000 orang terbunuh sejak pakatan Arab Saudi menyertai konflik Yemen, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyi­fatkan konflik negara itu sebagai krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.

Pakatan Arab Saudi melaksanakan kepungan sepenuhnya ke atas semua pelabuhan di Yemen pada November tahun lalu sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu pemberontak Houthi.

SUMBER: AFP


Pengarang :