NASIONAL

Azizah: Halang gambar pemimpin, SPR terdesak

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 APR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang paparan gambar pemimpin utama selain Presiden dan Timbalan Presiden parti sebagai bahan kempen Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dianggap sebagai tindakan terdesak.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, syarat tambahan dikeluarkan jelas melangkaui tugas dan tanggungjawab SPR dalam mengendalikan PRU seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah tindakan terdesak mengharamkan penggunaan gambar Ketua Umum PAKATAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai bahan kempen PRU-14.

“SPR harus memastikan PRU14 berjalan secara bebas, bersih dan adil bukannya menetapkan syarat berat sebelah dan tidak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, tanggungjawab SPR ialah menjalankan pilihan raya, menyediakan dan menyemak daftar pemilih serta menjalankan kajian semula bahagian pilihan raya Persekutuan serta negeri.

Mengulas lanjut, katanya, ia pertama kali dalam sejarah pilihan raya di negara ini apabila SPR menetapkan syarat tambahan bagi penggunaan bahan kempen dalam PRU kali ini iaitu melarang penggunaan gambar pemimpin utama parti politik selain daripada Presiden dan Timbalan Presiden.


Pengarang :