NASIONAL

Golongan Autisme perlu sokongan masyarakat

OLEH HAZIQ ISMAIL

SUBANG JAYA, 23 APR: Golongan Autisme mampu memenuhi pasaran kerja sekiranya kemahiran mereka diasah dan diberi peluang untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan.

Ketua Program Vokasional Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Saffiza Anuar berkata, sokongan ahli keluarga dan masyarakat sekeliling amat diperlukan bagi memastikan mereka diterima.

“Sebenarnya kesedaran orang ramai amat penting terutama dari segi bantuan kewangan, prasarana dan fasiliti bersesuaian dengan golongan tersebut.

“Golongan ini boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan mereka boleh mengaplikasikan kemahiran dimiliki untuk melakukan pekerjaan di luar,” katanya lapor Utusan.

Terdahulu, NASOM dan Hope Bridge I Care Centre menganjurkan Program Cucian Kenderaan sempena Hari Kesedaran Autisme.

Program berlangsung sejak 16 April dan berakhir 30 April itu melibatkan kanak-kanak serta remaja Autisme berusia lima hingga 18 tahun.

“Program ini bertujuan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa apa sokongan atau bantuan yang boleh membantu individu autisme boleh lakukan,” katanya.

Orang ramai berminat memberi sokongan dan bantuan berhubung program itu boleh berkunjung ke Hope Bridge I Care Centre di No.58 Jalan SS18/1C, Subang Jaya.


Pengarang :