SELANGOR

Iktiraf Sijil UEC, Selangor lebar reformasi pendidikan negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 APR: Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan besar yang dimainkan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dalam pembangunan modal insan pendidikan negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata komitmen itu dibuktikan menerusi pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap kelayakan Sijil Unified Examination Certificate (UEC) yang diperkenalkan oleh Gabungan Persatuan Ahli Lembaga-Lembaga Sekolah Cina (Dong Zhong), sejak 2016 lalu.

“Statistik menunjukkan seramai lebih 3,000 pelajar menamatkan pelajaran dengan sijil UEC setiap tahun.

“Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan gagal memberikan komitmen yang positif untuk mengiktiraf UEC.

“Sebaliknya, Perdana Menteri hanya menabur janji PRU-14 untuk memancing undi masyarakat Cina.

“Itupun sekadar menyatakan dalam manifesto Barisan Nasional bahawa warganegara yang memiliki sijil peperiksaan luar negara termasuk UEC akan diberikan pertimbangan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, tindakan itu menguatkan lagi kenyataan bahawa Selangor mendahului komitmen reformasi pendidikan negara.

“Selangor telah melaksanakan dan telah lama mengiktiraf UEC. Sekali lagi, Selangor mendahului Putrajaya dalam mengangkat martabat pendidikan.

“Pendidikan di Malaysia hari ini berhadapan dengan cabaran yang getir.

“Sekiranya sistem pendidikan tidak diperbaiki, direformasi, kita tidak akan berjaya untuk melonjakkan Malaysia menjadi negara terunggul di rantau ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Fasa Pertama di di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah Alam, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, RM11 juta daripada pembiayaan kewangan fasa pertama sebanyak RM23 juta diserahkan kepada sekolah terlibat seluruh negeri.


Pengarang :