PENDIDIKANSELANGOR

Selangor komited laksana inisiatif baru angkat agenda pendidikan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 APR: Pentadbiran Putrajaya gagal mendepani sebarang usaha untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor lebih komited melaksanakan inisiatif baru bagi merancakkan agenda pendidikan terkini.

‘Kita sedia maklum bahawa kos pendidikan hari ini semakin tinggi dan amat membebankan keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Tetapi malangnya, Kerajaan Persekutuan tidak melihat pendidikan khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional sebagai satu sektor yang terpenting.

“Malahan, bajet tahunan pendidikan Persekutuan dikurangkan sehingga 30% dan memberi kesan negatif kepada pembangunan modal insan negara,” katanya.

Namun, Mohamed Azmin berkata, di peringkat Kerajaan Negeri program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) diperkenalkan bagi menjayakan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkenalkan bagi mendukung teras pendidikan negara.

Katanya, pelaksanaan itu seiring keperluan membekalkan tenaga mahir bagi memenuhi pasaran sedia ada.

Selain itu katanya, pengajian akademik dan profesional turut diperkenalkan di bawah penjenamaan pendidikan baru, Universiti Selangor (UNISEL), INPENS International College dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Kita mesti memastikan bahawa anak-anak kita tidak hanya bersekolah atau ke universiti, tetapi juga menerima pendidikan berkualiti yang akan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran abad ke-21,” katanya Mohamed Azmin.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Fasa Pertama di di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah Alam, hari ini.

Dalam perkembangan itu, RM11 juta pembiayaan kewangan fasa pertama diserahkan kepada sekolah terlibat seluruh negeri.

=EZY=


Pengarang :