NASIONAL

Imigresen hargai jasa wartawan

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 12 APR: Jabatan Imigresen menghargai jasa dan pengorbanan wartawan juga pengamal media yang bekerja tanpa mengira masa di lapangan demi memastikan laporan berita sampai kepada rakyat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafar Ali berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua media yang selama ini memberikan kerjasama dan menjadi rakan strategik dalam menyiar liputan berita, laporan khas serta menyertai programnya.

“Peranan wartawan dan media dalam memenuhi hak rakyat untuk mengetahui, menegakkan nilai asas demokrasi, menegakkan kedaulatan undang-undang juga hak asasi manusia sentiasa dihormati serta disanjung tinggi.

“Wartawan dan media selama ini menjadi mata juga telinga Jabatan Imigresen yang menjadi penghubung dengan masyarakat dalam menyampaikan mesej serta suara prihatin rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2018.

Beliau berkata, jalinan kerjasama itu banyak membantu Jabatan Imigresen dalam usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam.


Pengarang :