BERITA UTAMASELANGOR

Kekal PAKATAN, Azmin optimis cipta lebih banyak kejayaan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 29 APR: Pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor bersedia untuk kekal memacu pembangunan mampan di negeri itu, kata Pengerusinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pembangunan pentadbiran itu sejak dua penggal lalu dianggap sebagai ‘kejayaan terbesar’ bagi merancakkan lagi agenda pembangunan di negeri termaju itu.

“Kejayaan ini menjadikan rakyat Selangor amat selesa, selamat dan sejahtera berada di bawah kepimpinan Pakatan Harapan.

“Atas pertimbangan itu, saya yakin rakyat akan terus mengekalkan PAKATAN untuk membangunkan negeri dan mengekalkan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

Mohamed Azmin yakin, calon-calon PAKATAN bagi tempoh Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) ini merupakan legasi kepimpinan yang mampu mengangkat martabat kemajuan Selangor.

Katanya, rekod kerja dan prestasi kepimpinan mereka di peringkat akar umbi dan negeri mampu menerajui kepimpinan negeri.

“Saya yakin mereka boleh mendapatkan sokongan kuat daripada masyarakat memandangkan prestasi dan rekod kerja mereka yang sangat baik di lapangan.

“Kita mempunyai banyak kejayaan dan berita baik yang boleh dikongsikan kepada rakyat dalam tempoh 10 tahun ini.

“Buktinya kita kekal sebagai negeri termaju selain terus menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara dan prestasi terbaik inilah boleh dirujuk rakyat secara amnya,” katanya.

Terdahulu, Azmin bercakap kepada pemberita selepas hadir menyerahkan borang pencalonan P0.98 Parlimen Gombak, di Pusat Penamaan Calon Sungai Pusu, semalam.

=EZY=


Pengarang :