SELANGOR

Kerajaan Negeri berjaya selesai 53 projek perumahan terbengkalai

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 18 APR: Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan isu 53 projek perumahan terbengkalai membabitkan 24,660 unit sejak 2008 hingga 2017.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri tegas dan bakal menyenaraikan hitamkan pemaju yang terbukti gagal menyiapkan projek mereka.

“Selepas mengenal pasti nama pemaju yang disenarai hitam maka mereka tidak dibenarkan lagi melaksanakan sebarang pembangunan di negeri ini.

“Matlamat Kerajaan Negeri adalah memperhebatkan pembinaan Rumah Selangorku selaras dengan inisiatif merakyatkan ekonomi Selangor menerusi kemudahan serta skim diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Idaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di Kampung Seri Temenggung, di sini, semalam.

Iskandar berkata, penyediaan rumah mampu milik merupakan agenda utama Kerajaan Negeri demi memastikan rakyat mampu memiliki kediaman impian.

“Dasar Kerajaan Negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif pemilikan rumah menjadikan ia pemangkin kepada akses perumahan berkualiti, selesa dan mampu milik kepada rakyat untuk memiliki kediaman berkualiti dengan harga bawah RM250,000.

“Contohnya, inisiatif skim ‘Smart Selangor First Home Buyers’ mula dilancarkan Februari lalu membuktikan Kerajaan Negeri serius dan komited membantu kurangkan beban bakal pembeli untuk menyediakan 10 peratus bayaran deposit pembelian Rumah Mampu Milik,” katanya.

Pada masa sama, Iskandar memuji usaha dilakukan PKNS dalam menyediakan keperluan perumahan kepada rakyat.

“Diharap segala perancangan pembinaan projek seumpama ini pada masa hadapan dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :