EKONOMI

Ringgit diniaga 3.8875/8920 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 18 APR: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan momentum belian berterusan terhadap nota tempatan disokong ekonomi Malaysia yang positif, kata peniaga.

Pada jam 9.01 pagi, ringgit disebut pada harga 3.8875/8920 daripada 3.8885/8925 penutup Selasa.

Peniaga berkata, ringgit mendapat rangsangan daripada pengukuhan harga minyak global, selain berita Keluaran Dalam Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018 negara dijangka mencatat pengukuhan lanjut.

Semalam, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini sebanyak 0.1 peratus kepada 5.5 peratus daripada 5.4 peratus sebelum ini, dipaci terutamanya oleh perbelanjaan domestik dan swasta.

MIER berkata, nota tempatan meningkat ketara daripada 4.50 berbanding dolar AS, dan dijangkakan akan terus mengukuh kepada antara 3.65 dan 3.70 menjelang akhir tahun jika momentum ini berterusan.

Ringgit mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9639/9685 daripada 2.9690/9725 dan menokok berbanding yen kepada 3.6264/6309 daripada 3.6317/6365.

Ringgit mengukuh berbanding pound British kepada 5.5556/5632 daripada 5.5676/5752 dan berbanding euro, menokok kepada 4.8069/8132 daripada 4.8101/8166.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :