SELANGOR

Khalid, Rodziah kerja keras kekalkan kerusi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) Shah Alam bakal melipat gandakan usaha berkhidmat memperjuangkan hak rakyat jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Calon Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, usaha itu dilaksanakan supaya PAKATAN bukan hanya menang di Selangor, malah terus ke Putrajaya.

“Di peringkat Selangor, apa yang kita mampu buat terhad, namun kita tetap melakukan sebaik mungkin jauh mengatasi negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu, kali ini kita akan lipat gandakan manfaat dan kekuatan bukan sekadar mempertahankan kerusi di Parlimen Shah Alam, malah terus ke Putrajaya dengan tujuan menyelesaikan masalah ekonomi yang membelenggu kehidupan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada PRU13, Khalid menewaskan calon BN, Datuk Zulkifli Noordin dengan majoriti 10,939 undi.

Sementara itu, calon DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, walaupun beliau memegang kerusi di kawasan itu selama dua penggal, namun pihaknya tetap bekerja keras bagi mengekalkan Selangor di bawah pentadbiran PAKATAN.

“Walaupun saya mempunyai kelebihan sebagai penyandang tetapi kali ini kita akan tentang habis-habisan tidak kira siapa pun lawan kita kerana ia pertembungan antara parti.

“Saya yakin usaha yang diberi selama dua penggal ini membolehkan rakyat menilai setelah melihat Selangor mencernakan hasil lebih baik jika PAKATAN terus memegang negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, jika diberi mandat sekali lagi oleh rakyat beliau akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan modal insan selain menyelesaikan isu berbangkit.

“Selesai penggal kedua, banyak isu infrastruktur dan fizikal sudah dilaksanakan.

“Maka, kali ini saya berjanji untuk membangunkan modal insan di kawasan ini bagi memberi jati diri baik kepada rakyat di Shah Alam khususnya,” katanya.

Rodziah akan menentang calon BN, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop dan calon PAS, Abdul Halim Omar.


Pengarang :