SELANGOR

Sokongan pengundi Melayu Sungai Kandis melonjak 55%

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 APR: Peningkatan sokongan pengundi Melayu di DUN Sungai Kandis melonjak 55 peratus walaupun cubaan memecahkan pengundi dilakukan menerusi persempadanan semula.

Calon KEADILAN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei berkata, walapun cubaan memindahkan kaum itu dilakukan, namun pengundi Melayu kawasan berkenaan celik dan berfikiran terbuka.

“Harapan Barisan Nasional (BN) membuat persempadanan semula kerana mereka ingat orang Melayu boleh dibeli tetapi mereka lupa. Di sini, bukan Melayu boleh dibeli seperti negeri lain.

“Pengundi Melayu di sini sama ada kawasan kampung mahupun bandar, terbuka pemikirannya dan faham apa yang berlaku,” katanya pada program Minum Petang bersama jentera dan penduduk Kampung Sungai Kandis, di sini.

Shuhaimi menyifatkan persempadanan semula dilakukan BN dengan mengalihkan hampir 6,000 pengundi dari Taman Sentosa dan Seri Muda tidak akan berhasil.

Katanya, tindakan itu juga tidak masuk akal, namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan arahan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

“Lakaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Parlimen Kota Raja ini seperti penumbuk dalam perut. Di tengah kawasan DUN Sentosa, di sekeliling kawasan Sungai Kandis dan Kota Kemuning.

“Ini bertujuan mengalihkan pengundi Melayu supaya ketiga DUN itu dipecahkan mengikut kaum, iaitu DUN Sentosa 44 peratus India, Sungai Kandis 71 peratus Melayu dan Kota Kemuning 33 peratus Cina.

“Manakala kawasan saya, mereka pisahkan walaupun bentuk DUN itu berada di kedudukan masuk Jalan Raya Timur ke Bandar Puteri, Bandar Botanik pula diletakkan di DUN Sentosa dan pusing semula Bandar Puteri dan Johan Setia dalam DUN Sungai Kandis,” katanya.

Ketika ini, Parlimen Kota Raja (P111) mempunyai 121,126 pengundi, DUN Sungai Kandis (41,523), Sentosa (41,261) dan Kota Kemuning (38,342).


Pengarang :