SELANGOR

Lulus permohonan geran, elak rakyat terbeban

KUALA LANGAT, 20 APR: Kerajaan Negeri optimis dalam memberi keutamaan terhadap permohonan geran hak milik tanah oleh penduduk Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri tidak mahu penduduk terbeban dengan kadar premium yang tinggi.

Katanya, terdapat ramai peneroka masih belum mampu membayar premium tanah walaupun Notis 5A dikeluarkan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri menurunkan kadar premium kepada RM1 kaki persegi.

“Kita memahami kesusahan rakyat. Tanah ini hak rakyat, justeru pemilik perlu mengambil berat dan menjaga hak mereka sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah dan Inisiatif Peduli Rakyat di Dewan Kompleks Sukan Majlis Daerah Kuala Langat, di sini, harini.

Dalam program itu, seramai 31 keluarga menerima geran milikan tanah selepas menanti lebih 12 tahun.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mengingatkan penerima geran supaya menjaga dan mempertahankan aset masing-masing untuk diwarisi generasi akan datang.

Katanya, penyerahan geran kepada pemohon di kampung itu diluluskan berlandaskan agenda Kerajaan Negeri yang peduli rakyat dan sentiasa mendengar serta melihat keperluan rakyat dalam mendepani cabaran masa kini.


Pengarang :