SELANGOR

MIHAS 2018: Lebih 30 syarikat tersenarai dalam kod QR

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 6 APR: Lebih 30 syarikat tersenarai dalam kod QR yang dilaksanakan Invest Selangor Berhad, pada program Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2018 (MIHAS 2018).

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, ia bertujuan memudahkan orang ramai yang berkunjung ke pameran itu mendapatkan maklumat lanjut berkenaan syarikat terbabit, di bawah Invest Selangor.

“Orang ramai yang hadir boleh mengimbas kod QR disediakan jika mahu mendapatkan pelbagai maklumat.

“Tidak semua syarikat berkenaan itu ada di pameran ini, justeru kod QR dicipta bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke gerai pameran Made In Selangor MIHAS 2018, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), di sini, semalam.

MIHAS dikenali sebagai pameran perdagangan halal terbesar dunia kini memasuki edisi ke-15 berlangsung selama empat hari bermula 4 hingga 7 April ini.

Pertama kali diadakan pada 2004, MIHAS berkembang menjadi acara perdagangan khusus tahunan yang amat dinantikan dalam industri halal seluruh dunia selain melonjakkan Malaysia sebagai hab global bagi ekonomi Islam.

Menarik penyertaan lebih 1,000 peserta pameran dari lebih 40 negara pada tahun ini, MIHAS mendapat perhatian dunia, menjadikannya landasan untuk perdagangan halal global.


Pengarang :