Selangorkini
NASIONAL

Netizen terhibur lihat tutorial tudung Nurul Izzah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 APR: Gelagat Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di instagram mencuri tumpuan netizen.

Melalui laman instagram peribadi Nurul Izzah itu, beliau memuatnaik gambar tutorial tudung bersama ibunya Dr Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN.

Netizen mahupun penyokong kedua-dua wanita itu cukup mengenali gaya tudung mereka yang seringkali dilihat di kaca televisyen mahupun media sosial.

Mencuit hati apabila kali ini Dr Wan Azizah dilihat merelakan dirinya mencuba fesyen tudung yang seringkali digayakan anak sulungnya itu.

Nurul Izzah dalam instagramnya berkata, itu adalah hari ‘membuli’ ibu tercinta dengan cuba menggayakan tudung seperti.

“Saya bersyukur dengan anugerah serta keajaiban yang datang dalam keluarga kita, ibu. Malah saya bersyukur dengan ikatan kekeluargaan kuat yang terbina lebih daripada dua dekad ini.

“Maafkan saya kerana kekurangan saya dan sewaktu saya menyakiti hati ibu. Anda umpama ‘gam’ yang mengikat hubungan keluarga kita dan Papa (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah orang yang paling beruntung kerana memiliki anda yang sentiasa berada di sisinya setiap masa,” katanya dalam laman berkenaan.

Gambar yang dikongsi Nurul Izzah itu mendapat lebih 17,000 kesukaan dari pengguna instagram dengan lebih 300 komen.

Salah seorang pengguna intagram, ‘ummie4af’ mengakui tersentuh melihat gambar kedua-dua ibu dan anak tersebut.

“Semoga ALLAH SWT panjangkan usia Dr Wan Azizah dan semoga Datuk Seri Anwar kembali ke pangkuan keluarga, dan semua ahli keluarga bersatu tidak lama lagi”.

Sementara itu bagi ‘faramk’ berkata, dirinya sentiasa mendoakan keluarga berkenaan setiap hari.

“Semoga ALLAH berikan anda ganjaran syurga dan ALLAH sentiasa bersama anda setiap masa,” katanya.

=EZY=


Pengarang :