BERITA UTAMASELANGOR

PKNS jaya pembangunan mampan di Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 18 APR: Pembangunan dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menepati hasrat Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan mampan di bandar dan luar bandar di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembabitan PKNS dalam pembinaan rumah mampu milik adalah signifikan dan bakal merancakkan lagi pembangunan kediaman berkualiti untuk rakyat di negeri itu.

“Ini kerana Kerajaan Negeri mahu supaya pembangunan di Selangor dapat disebarluaskan bukan setakat di bandar seprti Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang tetapi di daerah lain juga berhak untuk mendapat pembangunan yang sama demi keharmonian serta kesejahteraan rakyat.

“Hari ini kita menyaksikan satu lagi pembangunan cukup signifikan di daerah Gombak yang mana ketika ini ia adalah daerah paling pesat membangun,” katanya dalam majlis pecah tanah rumah Selangorku Idaman PKNS di Kampung Seri Temenggung di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad; Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Beliau berkata, Gombak kini menjadi tumpuan dengan kewujudan kawasan industri termasuk di kawasan sekitar seperti di Rawang dan Hulu Selangor menyebabkan ramai rakyat berhijrah di sini.

“Ini akan menyebabkan permintaan rumah meningkat dan menarik lebih ramai ‘knowledge workers’ untuk berada di sini.

“Saya berharap pembangunan rumah Selangorku Idaman PKNS ini akan menjadi mercu tanda baharu kepada Gombak,” katanya.

=EZY=


Pengarang :