NASIONAL

PRU14: 7,914 borang pencalonan terjual

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 27 APR: Sejumlah 7,914 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijual Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga tempoh penjualan ditutup, pada 5 petang tadi.

Ia membabitkan 2,676 borang pencalonan bagi kerusi Parlimen dan 5,238 untuk Dewan Undangan Negeri (DUN).

SPR dalam kenyataan hari ini, menyatakan 199 borang pencalonan dijual di Kuala Lumpur dan Putrajaya sementara 295 borang dijual di Sarawak.

Sabah dan Labuan mencatat penjualan borang tertinggi sebanyak 1,262 (383 Parlimen, 879 DUN), diikuti Selangor 824 (238 Parlimen, 586 DUN), Kelantan 801 (197 Parlimen, 604 DUN), Perak 749 (234 Parlimen, 515 DUN) dan Johor 724 (265 Parlimen, 459 DUN).

Di Pulau Pinang, 150 borang pencalonan Parlimen dan 500 DUN dijual, Kedah (162 Parlimen, 375 DUN), Pahang (137 Parlimen, 332 DUN), Negeri Sembilan (78 Parlimen, 310 DUN), Melaka (146 Parlimen, 169 DUN), Terengganu (70 Parlimen, 242 DUN) dan Perlis (39 Parlimen, 179 DUN).

Menurut SPR, 83 borang pencalonan Parlimen dan 88 borang pencalonan DUN turut dijual di ibu pejabatnya di Putrajaya.

Penamaan calon PRU14 ditetapkan esok (28 April) dan pengundian pada 9 Mei, manakala pengundian awal 5 Mei.

Jumlah kerusi dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini masih kekal seperti PRU13, sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN.


Pengarang :